Pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas dan surau dapat ‘lampu hijau’ untuk dibuka, tapi tunggu pengumuman KPM

KERAJAAN bersetuju membenarkan pembukaan semula pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas, institusi pendidikan swasta dan surau di sekolah.

Namun Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh pembukaan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Hari ini KPM telah pun membentangkan SOP mengenai pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas dan juga surau sekolah kepada mesyuarat khas menteri-menteri.

“Setelah mendengar pembentangan daripada KPM maka mesyuarat khas bersetuju untuk membenarkan pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas serta institusi-institusi pendidikan swasta untuk beroperasi.

“Walau bagaimanapun tarikh dan perinciian SOP tersebut akan diumumkan KPM sendiri,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Jumaat petang.

Malah Ismail Sabri berkata, surau-surau di sekolah juga dibenarkan untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan.

“Kita benarkan surau digunakan sewaktu sesi persekolahan dan SOP juga akan diumumkan KPM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan juga bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar untuk beroperasi semula.

Namun katanya, tarikh pembukaan sekolah dan madrasah tersebut adalah mengikut tarikh yang akan diumumkan KPM selain pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“Jika sekolah diumum dibuka, jadi tarikh sama boleh beroperasi. Saya percaya KKM akan umumkan mengenai tarikh permulaan sekolah selain pelajar kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

“Namun sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan perlu mematuhi SOP ditetapkan. Bagi sekolah dan madrasah tahfiz berasrama mereka perlu mengikut SOP di sekolah berasrama yang ditetapkan,” katanya.

Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, Ismail Sabri berkata pihak pengurusan perlu membuat permohonan untuk beroperasi daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Jadi saya harap yang tak berdaftar, kalau nak buka mohonlah dengan pihak berkuasa agama negeri. Tapi saya galakkan mereka supaya mendaftarkan sekolah dan madrasah tahfiz mereka,” katanya.

Sumber: Mstar