Malaysia Merancang Perjalanan “Laluan Hijau” Bersama Singapura dan Brunei

Malaysia dalam proses perbincangan dengan Singapura dan Brunei untuk mewujudkan ‘laluan hijau’ atau bubble green bagi memudahkan rakyat dari dua negara itu masuk tanpa sekatan dan juga sebaliknya.

Seperti negara lain di dunia, kita juga mencari jalan untuk membuka sempadan antarabangsa demi kelangsungan hidup tanpa berlaku lonjakan kes jangkitan baharu COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika diwawancara media antarabangsa, Bloomberg, Khamis lalu.

Selain dua negara itu, Malaysia juga merancang untuk mengadakan kerjasama yang sama dengan Australia dan New Zealand.

Negara-negara yang tiada kes baharu selama 28 hari juga akan dipertimbangkan (untuk kerjasama ini), kata Dr Noor Hisham.

“Semua ini masih dalam perancangan. Kita belum lagi membuka pintu sempadan kepada mana-mana negara.

“Perancangan ini perlu persetujuan kedua-dua belah pihak. Ada sesengah isu yang perlu diperhalusi antara negara sebelum diteruskan laluan hijau atau bubble green,” katanya lagi.

Beberapa negara sedang berusaha nembuka pintu sempadan tetapi terencat seketika ekoran pertambahan semula kes COVID-19. Contohnya, Australia dan New Zealand masih lagi dalam peringkat perancangan untuk membuka sempadan kedua-dua negara itu atau trans-Tasman bubble.

Hong Kong dan Wilayah Guangdong di selatan China juga akan melonggarkan sekatan tetapi pelawat perlu buat saringan COVID-19 terlebih dahulu.

Jika laluan hijau ini menjadi kenyataan, pelawat dari Singapura, Australia dan New Zealand yang masuk ke Malaysia mungkin tidak perlu lagi kuarantin 14 hari di rumah.

“Namun semuanya bergantung kepada persetujuan bersama yang sedang diusahakan,” kata Dr Noor Hisham.

Malaysia mahu pelawat dari negara zon hijau itu meneruskan aktiviti yang telah dirancang sebaik masuk ke negara ini.

Syarikat boleh membawa masuk pekerja jika berlaku urusan kecemasan tapi perlu pastikan sebaik tiba, pekerja itu terus dibawa tempat kerja dan tidak bergaul dengan penduduk tempatan.

Pelancong perubatan pula boleh terus ke hospital untuk menjalani prosedur rawatan dan pihak hospital hanya perlu memastikan pesakit itu dikuarantin di fasiliti kesihatan mereka.

Jika kita boleh kawal pandemik ini secepat mungkin, sektor ekonomi dan kehidupan rakyat boleh diteruskan seperti biasa, kata Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham yakin Malaysia akan mencapai sifar kes COVID-19 pada pertengahan Julai ini, jika orang ramai terus mematuhi SOP dan menjadikan pembaharuan baharu sebagai normal baharu.

Sumber:KKM,Mstarkini