Ejekan ‘gemuk macam gorila’, ‘boroi itu seksi’… tapi bukan bermakna yang ‘sihat’ sahaja berpenyakit!

SESIAPA sahaja pasti tidak suka kalau tiba-tiba orang panggil kita gemuk, dan lebih teruk lagi ia boleh mengganggu emosi seseorang itu.

Gemuk adalah satu perkataan yang sangat sensitif dan agak pantang didengar khususnya bagi mereka yang memiliki bentuk badan yang sedemikian.

Hakikatnya, ramai yang tidak selesa dengan bentuk tubuh seperti itu atau dikategorikan sebagai obes.

Diejek gemuk

Hakikatnya mereka ini berhadapan dengan stigma dipanggil dengan gelaran memalukan seperti ‘gemuk macam tempayan’, ‘macam gorila’ dan ‘pelahap makan’ oleh segelintir masyarakat termasuk mereka yang berbadan langsing.

Tambahan, saiz badan yang gempal juga sering dikaitkan dengan risiko mengalami banyak masalah kesihatan kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Masalah obesiti boleh mengundang pelbagai penyakit.

Dalam hal ini, mungkin ada segelintir golongan berbadan kurus berasa yakin bahawa saiz badan mereka sudah pastinya sihat kerana “mereka tidak gemuk”. Tentunya juga tidak mungkin diserang penyakit yang sinonim dengan kegemukan berlebihan atau obes.

Apakah tanggapan mereka benar? Apakah keyakinan mereka itu berasas?

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, tanggapan orang kurus iaitu mereka sihat dan tidak akan terkena penyakit yang kerap kali dikaitkan dengan obesiti adalah salah sama sekali.

Malah, ada antara mereka yang dilihat secara luarannya berbadan kurus itu juga sebenarnya berhadapan dengan masalah obesiti tanpa disedari.

Perkara ini turut ditekankan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norliza Ahmad.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung atau strok dianggap lebih tinggi dalam kalangan yang berukuran pinggang 90 sentimeter (sm) untuk lelaki dan 80sm bagi wanita.

“Kebanyakannya tidak perasan masalah obesiti abdomen, mungkin kerana penekanan yang diberikan terhadap ukuran BMI (Indeks Jisim Badan) berbanding ukur lilit pinggang.

“Mereka yang mempunyai BMI normal, tidak boleh menyangka tidak berisiko menghidap penyakit kardiovaskular tanpa mengukur lilit pinggang, kerana itu, kita disarankan mengukur dan memantau ukur lilit pinggang sepertimana dilakukan untuk BMI,” katanya.

Ini kerana BMI hanya menilai berat badan dengan ketinggian dan bukannya mengukur lemak di dalam tubuh badan secara mutlak.

Boroi jadi bahan jenaka

Kurang kesedaran menyebabkan masih ada segelintir pihak yang memandang ringan akan isu ini.

Kalau ditinjau ruangan komen yang membanjiri laman sosial Facebook dan Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan status terkini obesiti abdomen NHMS 2019, masih ada lagi yang mengganggap ‘boroi’ itu sebagai bahan jenaka.

Jangan terlalu selesa kerana orang berbadan kurus juga tidak semuanya sihat.

“Perut buncit bukan tanda suami bahagia ke?”; “Tapi boroi itu lebih seksi dari yang sado”, “My experience, lelaki perut buncit selalunya kaya-poket tebal” – antara respons negatif segelintir netizen mengenai permasalahan ini sekali gus menunjukkan kesedaran masyarakat mengenainya masih rendah.

Senario ini nampaknya sejajar dengan penemuan NHMS 2019 di mana satu daripada tiga individu dewasa mencatatkan literasi kesihatan rendah, kata Norliza.

“Literasi kesihatan bermaksud keupayaan seseorang itu untuk mendapat dan memahami maklumat kesihatan dengan baik. Literasi kesihatan ini melibatkan aspek seperti aktiviti pencegahan penyakit, promosi kesihatan dan amalan gaya hidup sihat, ” katanya, sambil menambah, amat penting masyarakat didedahkan secara agresif punca obesiti abdomen menerusi pelbagai program berterusan sama ada pihak kerajaan mahupun NGO berkaitan.

Kenakan cukai tinggi

Justeru, masyarakat perlu mengamalkan cara hidup sihat bagi mengekang situasi ini daripada semakin parah sekali gus menyebabkan kerajaan berterusan menanggung perbelanjaan yang besar untuk rawatan.

Misalnya, penyakit darah tinggi yang puncanya turut berkait obesiti mahupun obesiti abdomen telah mencatatkan bilangan penghidapnya seramai 6.4 juga orang di Malaysia iaitu tiga daripada 10 orang dewasa, berdasarkan tinjauan NHMS 2019.

Itu belum lagi dikira mereka yang menghidap diabetes dan semua ini pastinya akan berterusan menyumbang kesesakan di hospital kerajaan sekiranya masih ramai mengambil mudah permasalahan ini.

Sementara itu, Sharifa Ezat berkata kerajaan juga boleh mengenakan cukai tinggi kepada penjual makanan tidak sihat seperti mengehadkan bilangan kedai ‘bubble tea’ yang semakin berleluasa dan mengawal penjualan pemakanan segera di kedai 24 jam.

“Didik masyarakat secara berterusan mengenai kepentingan pemakanan sihat, seimbang, senaman seperti mengalakkan pusat senaman terbuka dengan pengawalan kos kemasukan supaya tidak terlalu mahal.

“Insentif (kupon, sijil) di sekolah, universiti untuk pelajar yang mengekalkan BMI sihat. Pengesanan kes permasalahan ini di peringkat awal,” katanya.

Sumber: mstar