Sindrom ‘patah hati’ meningkat sepanjang pandemik… tapi puncanya bukan ditinggalkan kekasih!

PATAH hati akibat gagal dalam percintaan memang terasa pahit. Namun sebenarnya keadaan itu tidak selalunya dikaitkan dengan hubungan yang terkandas!

Sebaliknya dalam bidang perubatan, otot jantung yang lemah juga disebut sebagai ‘sindrom patah hati’.

Penemuan terbaharu mendapati, berlaku peningkatan signifikan terhadap ‘sindrom patah hati’ di dua hospital di Ohio, Amerika Syarikat dan pesakitnya bukan dalam kalangan yang dijangkiti koronavirus.

Fenomena itu menunjukkan tekanan fizikal, sosial dan ekonomi akibat pandemik memberi kesan kepada peningkatan pesakit sindrom ‘patah hati’ yang turut disebuat sebagai Takotsubo.

Sindrom ‘patah hati’ juga disebut sebagai Takotsubo.

Ia terjadi disebabkan otot jantung yang lemah, menyebabkan dada berasa sakit dan sesak nafas. Gejalanya mirip kepada serangan jantung namun puncanya adalah disebabkan tekanan dan bukannya saluran darah tersumbat.

Dalam beberapa kes yang berlaku di Ohio, beberapa pesakit ‘patah hati’ meninggal dunia, namun kebanyakannya pulih dalam beberapa minggu.

Pengkaji di Cleveland Clinic turut membuat kajian terhadap pesakit di dua hospital berkenaan yang mengalami gangguan jantung dan membandingkan dengan pesakit yang memiliki masalah serupa dalam tempoh dua tahun kebelakang.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan JAMA Network Open itu mendapati, pesakit dengan gangguan jantung sepanjang tempoh pandemik memiliki risiko mengalami ‘sindrom patah hati’.

Ia selepas kumpulan pengkaji membuat penelitian terhadap 1,914 pesakit dalam tempoh dua bulan termasuk sampel daripada 250 pesakit yang dirawat sepanjang Mac dan April, iaitu puncak pandemik.

Sumber:mstar