Ej3k Rakan Mata Juling, Pelajar Lelaki Hampir Menang!s Dimalukan Awek Dalam Kelas “Baru Dia Tahu Macam Mana Rasa Malu”

HARI kedua selepas pembukaan semula sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan 4 pada Khamis lalu dicemari insiden ‘face shaming’.

“Tadi budak lelaki face shaming rakan sekelas aku sebab dia tu juling dari kecil, depan orang ramai dia jerit ‘mata mana mata?’.

“Lepas tu aku tak sengaja pergi cakap bibir sendiri kena sengat tebuan lagi sibuk nak ‘face shaming’ orang. Satu kelas gelak, puas hati,” tulis seorang gadis berkongsi pengalamannya di laman Twitter sehingga menjadi tular.

Gadis berkenaan yang mahu dikenali Nurinlofa berkata, kejadian berlaku di sekolahnya di Kuantan, Pahang ketika guru berada di dalam kelas.

Perkongsian Nurinlofa di laman Twitter mengenai face shaming.

Remaja berusia 16 tahun itu memberitahu, pelajar yang dikatakan juling itu sedang bercakap dengan guru mereka sebelum pelajar lelaki nakal berkenaan cuba mencuri perhatian rakan-rakan.

“Dia tak hormat cikgu ada kat depan. Walaupun cikgu tu tak garang, dia tak sepatutnya biadab macam tu kat cikgu dan rakan saya. Kasihan tengok kawan kena macam tu, dulu saya pun kena buli dengan dia dan geng dia.

“Sepatutnya selepas berbulan-bulan tak jumpa kawan-kawan sekelas kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), adalah rasa rindu atau hormat. Tapi perangai lagi teruk, tempoh PKP tak berjaya lembutkan hati dia yang suka ejek dan hina orang,” katanya.

Nurinlofa juga pernah mengalami perubahan muka akibat rawatan apendiks.

Nurinlofa berkata, dia nekad untuk membuat ‘serangan balas’ kerana menganggap apa yang dilakukan pelajar lelaki berkenaan begitu melampau.

“Niat dia nak raih perhatian untuk ajak rakan-rakan sekelas gelakkan kawan saya. Bila saya balas, rakan-rakan sekelas yang gelakkan dia dan muka dia macam nak menangis dan kembali duduk ke tempat dia.

“Baru dia tahu macam mana rasa malu bila kena face shaming. Mereka mungkin tak sedar sikap mereka tu toksik, tapi kesannya boleh buat rakan-rakan lain tak nak datang ke sekolah, sampai jejaskan rekod kehadiran,” ujarnya.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik itu, dia juga tidak terkecuali pernah menjadi mangsa ‘face shaming’ dengan pelajar yang sama sebelum ini.

Rakan sekelas Nurinlofa yang menjadi bahan ejekan.

Nurinlofa berkata, kesan perubahan hormon selepas rawatan penyakit apendiks pada September tahun lalu membuatkan wajahnya dipenuhi jerawat.

“Bukan setakat jerawat, ada rasa pedih. Kulit merah-merah dan kadang-kadang merekah dan mengelupas. Rasa sakit, tapi bila kena ejek tu hati lagi sakit.

“Sebelum PKP lagi, saya dah pakai topeng muka ke sekolah. Tiap-tiap hari saya pakai face mask sebelum korona (Covid-19), sebab nak elak habuk terkena pada wajah yang sensitif dan tak nak kena ejek sebab jerawat teruk di muka,” katanya.

Dengan kesan jerawat yang lebih teruk di bahagian pipi, Nurinlofa kemudian dibawa oleh ibunya untuk menjalani rawatan sehingga keadaan tersebut pulih secara berperingkat.

Perubahan wajah Nurinlofa sebelum (kiri) dan selepas menjalani rawatan.

Bersyukur tiada lagi masalah kulit wajah, dia semakin yakin untuk berhadapan dengan rakan-rakan terutama pelajar nakal di kelasnya.

“Macam rakan saya yang juling sejak lahir, dia masih rasa kurang yakin pada diri. Saya sebak tengok dia post gambar dengan matanya ditutup emoji.

“Cuba fahami perasaan dia. Jadi, saya perlu tampil untuk menyedarkan pelajar nakal tu supaya dia berhenti face shaming orang lain. Tiada manusia yang sempurna,” katanya.

Sumber: mStar,KLPress