Dipul4u selepas disahkan p0sitif Covid-19, bapa 2 anak kesal kontak rapat cuba ‘lari’ kerana swab test… siap suruh boh0ng – “Tolong jangan m4rah, m4ki h4mun”

PASTI sukar untuk menerima hakikat andai diri disahkan positif Covid-19.

Manakan tidak, masyarakat pasti memandang serong atau menuding jari kepada pesakit serta keluarga mereka.

Begitulah situasi dialami bapa dua anak ini apabila dia dipulaukan kontak rapat selepas disahkan positif jangkitan tersebut beberapa hari lalu.

Lebih menyedihkan, lelaki yang tinggal bersama mentuanya itu turut diminta berbohong kerana kontak rapatnya tidak mahu menjalani ujian swab bagi mengesan jangkitan tersebut.

“Saya disahkan positif Covid oleh KKM kelmarin dan kena kuarantin sendiri di rumah buat masa ini.

“Bila beritahu kontak rapat yang perlu swab test untuk pastikan tiada jangkitan, start semua orang menuding jari pada saya.

Paparan skrin luahan perasaan pemuda tersebut.

“Sampaikan ada yang berniat mahu melarikan diri dari melakukan swab test… sanggup suruh saya berbohong menyatakan mereka jauh dan tak pernah balik,” katanya.

Menurut lelaki tersebut dia mengalami simptom Covid-19 minggu lalu dan melakukan ujian saringan dengan segera demi keselamatan anak-anaknya yang masih kecil.

“Jadi saya ambil inisiatif untuk buat swab test demi anak-anak sebab ada pepatah mengatakan lebih baik mencegah dari mengubati.

“Saya ada dua anak… yang sulung tiga tahun lebih dan yang bongsu enam bulan,” katanya.

Namun ditakdirkan ujian saringan menunjukkan dia positif Covid-19.

Tambah dikesalinya apabila kontak rapat dengannya enggan melakukan ujian saringan walaupun ia bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan berkenaan.

Ujian saringan dilakukan terhadap mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

Susulan itu, lelaki tersebut meluahkan kekesalannya kepada Mohd Fadli Salleh, seorang guru yang cukup dikenali menerusi satu mesej di Facebook.

“Saya cuma kesal cikgu. Mereka sanggup lari dari tanggungjawab melakukan swab test untuk memutuskan rangkaian Covid.

“Dan saya buntu cikgu sebab saya tinggal dengan mentua,” luahnya.

Mesej tersebut dikongsi guru terbabit di Facebooknya dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Simpati dengan nasib lelaki itu, Mohd Fadli meminta orang ramai agar menghentikan stigma terhadap pesakit dan keluarga mereka.

“Jika ada antara kita, antara kawan-kawan kita positif Covid-19, tolonglah jangan pulau mereka. Tolong jangan marah mereka. Tolong jangan maki hamun.

Reaksi netizen terhadap perkongsian tersebut.

“Mereka tak nak pun kena. Mereka cuma tidak bernasib baik sahaja. Mungkin esok lusa kita pula yang kena. Tiada siapa tahu,” katanya.

Malah dia turut menasihati kontak rapat dengan pesakit supaya bersikap jujur.

“Jika ada kenalan kita, saudara kita, ahli keluarga kita positif Covid-19, dan kita ada kontak rapat dengan mereka, tolong jujur.

“Jangan lari, buatlah swab test dan tolong jangan salahkan mereka. Tiada siapa mahu terkena penyakit ini. Tiada siapa,” katanya.

Sumber:mstar