Zon merah di JB… semua taska, tabika, pusat aktiviti warga emas ditutup

SUSULAN Johor Bahru di Johor diisytiharkan sebagai zon merah akibat peningkatan kes Covid-19, lebih banyak institusi pendidikan ditutup.

Semua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska), Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) dan pusat aktiviti kanak-kanak di daerah itu ditutup operasinya dari 2 sehingga 14 November ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, arahan tersebut turut melibatkan pusat jagaan harian, pusat aktiviti warga emas dan pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Menurutnya, bagi taska di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), penutupan itu membabitkan empat kelas melibatkan 101 kanak-kanak, manakala tabika pula 265 buah kelas melibatkan 7,003 kanak-kanak.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 269 buah kelas taska dan tabika di bawah seliaan Kemas yang ditutup dengan keseluruhan melibatkan 7,104 kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Kementerian Pendidikan mengarahkan 376 institusi pendidikan di seluruh Johor Bahru ditutup bermula Ahad sehingga 14 November ini susulan pengisytiharan daerah ini sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan.

Arahan tersebut membabitkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah swasta, institut pendidikan guru, sekolah vokasional dan kolej yang berada di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, PPD Pasir Gudang dan PPD Kulai.

Susulan itu kerajaan negeri turut mengarahkan semua Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di daerah ini dan Kulai ditutup bermula Ahad hingga 14 November ini selepas Johor Bahru.

Arahan itu turut melibatkan semua Tadika Agama Johor (TAJ), semua sekolah Darjah khas, Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Sekolah Menengah Tinggi Arab (Maahad Johor), semua pusat tahfiz dan madrasah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Zaiton berkata, sebanyak 124 buah taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditutup selain sembilan buah PDK, 105 buah pusat jagaan harian, dua pusat aktiviti warga emas dan dua pusat aktiviti kanak-kanak.

Menurutnya, sebarang permakluman berhubung penutupan taska, tabika, dan pusa-pusat aktiviti seumpamanya akan diumumkan dari masa ke masa berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan mengenai koronavirus (Covid-19).

Katanya, keputusan penutupan itu selepas mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat dikawal.

“Ini termasuk tidak dijangkiti kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas,” katanya. – Sinar Harian

Sumber:mstar