Sebungkus nasi goreng ikan masin buat wanita ini termenung, kemudian terhibur… sampai sekarang tak boleh move on!

KENYANG dapat, hiburan pun dapat.

Begitulah gambaran yang diberikan seorang wanita yang terhibur apabila menerima bungkusan nasi goreng ikan masin yang dipesannya menerusi aplikasi Foodpanda.

Siti Norzita Muhamad, 34, terdahulu berkongsi gambar nasi goreng bersama dua ekor ikan gelama kering yang diberikan sebagai lauk, tidak seperti kebiasaan yang mana ikan masin akan dihancurkan sebelum digoreng bersama nasi dan sayur kailan.

“Puas la makan ikan masin, selalunya kalau order dapat bau je, ikan masinnya tak ada,” komen seorang warga maya.

Bercakap kepada mStar, Siti Norzita yang mesra dipanggil Kak Ita mengakui terkejut apabila menerima makanan tersebut.

“Biasa nasi goreng ikan masin ni tukang masak guna ikan tenggiri hancur kemudian goreng dengan nasi dan kailan, jadi akak tak sangka akan dapat macam tu.

“Bila dapat tu akak termenung kejap, akak fikir akak salah order ke? Jadi akak tengok gambar dekat menu, lepas tu bandingkan dengan apa yang akak dapat. Dua tiga kali akak ulang tengok, ada la dekat 20 minit la akak termenung,” katanya yang menetap di Pontian, Johor.

Gambar pada menu yang tertera di aplikasi Foodpanda.

Menurut Kak Ita, ini merupakan kali pertama dia memesan makanan dari kedai milik warga tempatan itu.

“Akak memang tak boleh makan mula-mula, bukan sebab tak sedap tapi sebab akak asyik ketawa, memang tak sangka dia akan bagi nasi goreng dengan ikan kering.

“Macam-macam akak fikir. Mungkin akak salah order, atau ni tukang masak gantian… nasi tu memang jadi bahan gelak untuk hari tu dan memang sampai hari ni kalau akak teringat akak masih belum move on, asyik nak gelak je,” katanya, sambil menambah dia sememangnya sering memesan nasi goreng ikan masin apabila keluar makan di luar.

Kak Ita yang bekerja sebagai tukang jahit tanjak dan tengkolok bagaimanapun mengakui bahawa dia tidak sedikit pun marah diberikan nasi goreng ikan masin ‘rare’, malah sempat meninggalkan reviu lima bintang buat kedai makan tersebut.

“Nasi dia okay je, dia bagi dua ekor ikan kering gelama besar separuh dari tapak tangan, memang pada akak berbaloi, ikan kering bukan murah sekarang.

“Lagipun akak fikir logik juga dia panggil nasi goreng ikan masin, sebab memang ada orang macam akak memang panggil ikan kering tu ikan masin, dan dia memang bagi ikan kering dengan nasi goreng, jadi betul la kan.

“Tapi dekat menu memang gambarnya sama macam nasi goreng ikan masin yang biasa kita beli tu (ikan dihancurkan dan digoreng dengan nasi),” katanya.

Sumber:mstar