Tak Puas Hati Bil Elektrik Tinggi, Lakukan Aduan Di Sini!

“Kenapa bil api naik tinggi sangat ni? Padahal tak duduk rumah pun,”

Itulah keluh kesah rakyat Malaysia kebelakangan ini yang meniti dari bibir ke bibir mahupun sekadar meluahkannya di alam maya.

Bagaimanapun, memetik laporan daripada portal Berita Harian, pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang melambung tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” ujarnya.

TTPM katanya, sudah menerima dua tuntutan termasuk satu berkaitan kenaikan luar biasa bil elektrik yang difailkan pada 5 Jun lalu.

TTPM yang ditubuhkan pada 15 November 1999 menyediakan saluran alternatif kepada pengguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.

Sumber: hotfm