Teruja kembali ke sekolah

SELEPAS lebih tiga bulan, hari ini, semua murid tadika, prasekolah dibenarkan pergi ke sekolah namun perlu mengikut SOP yang sudah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Almukmin, Bandar Springhill, di Port Dickson, Nur Azira Zaini, 24, berkata, ramai muridnya teruja bertanyakan bila mereka boleh ke sekolah.

“Hari ini nampak sebahagian anak-anak murid seperti teruja walaupun terpaksa membiasakan diri mengikut cara normal baru.

“Kami guru-guru PASTI juga tidak ketinggalan perlu mengikut aturan SOP dan garis panduan yang sudah disediakan MKN agar terhindar daripada Covid-19 ini,” katanya.

Muridnya, Nur Izzara Amani Mohd Muslim, 6, berkata, dia terasa seperti memulakan hari persekolahan di tahun baru dan tidak sabar hendak ke sekolah.

“Seronok bercuti tetapi bosan juga duduk lama-lama di rumah kerana tak ada lagi kawan-kawan untuk bermain.

“Pagi tadi saya bangun sendiri sebab tak sabar nak ke sekolah jumpa cikgu dan kawan-kawan,” katanya.

PEMERIKSAAN suhu murid. FOTO Mohd Khidir Zakaria

PEMERIKSAAN suhu murid. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Sementara itu, Pengurus PASTI Bandar Springhill, Abdul Fatah Zakaria berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi sejak dua minggu lalu untuk sekolah dibuka kepada hampir 100 muridnya.

“Kita mengikut semua SOP yang sudah ditetapkan MKN khusus untuk murid PASTI yang bersekolah bermula hari ini.

“Bukan murid saja yang teruja, guru pun sama dan mereka sudah pun mula bekerja sejak dua minggu lalu membuat persiapan persekolahan yang bermula hari ini.

“Pihak kami sudah pun bersedia kerana murid tadika yang berusia dari empat hingga enam tahun.

Bukan mudah menjaga dan mengawal mereka seperti penjarakan sosial terutama apabila mereka jumpa kawan-kawan sebaya, tetapi kami sudah bersedia dan anggap itu adalah cabaran,” katanya.

Sumber: harian metro