Covid-19: Hanya tinggal 85 kes aktif

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 62 kes Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif 8,437 kes, 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sehingga 12 tengah hari ini, ada tiga kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan dalam negara menjadikan jumlah kumulatif adalah 8,643 kes.

Katanya, daripada keseluruhan kes itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes.

“Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan dan ingin dimaklumkan daripada tiga kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Kes import itu membabitkan warga Malaysia, manakala dua kes penularan di dalam negara pula adalah dalam kalangan bukan warga Malaysia dan tiada kes dalam kalangan warga tempatan dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perincian kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warga Malaysia adalah kes daripada Kluster Bukit Bintang dan satu kes saringan membabitkan individu baru masuk ke lokap di Kota Kinabalu.

“Sehingga kini, ada dua kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan kumulatif kes kematian kekal 121 kes, 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sumber: harian metro