8 kluster baharu Covid-19 dalam 3 hari! Terkini libatkan rumah warga emas di Kluang

NEGARA dikejutkan lagi dengan kemunculan kluster baharu jangkitan Covid-19, pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu dikesan di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Beliau memberitahu, setakat 20 Julai, sebanyak 13 disahkan positif Covid-19.

“Kes pertama kluster ini merupakan kes kematian Covid-19 yang telah dilaporkan pada 19 Julai 2020 (iaitu kes ke-8,770), di mana ujian saringan Covid-19 didapati positif.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan. Sehingga 20 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, 39 orang telah disaring dan 14 daripadanya positif,” katanya dalam satu kenyataan, petang Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu juga, 18 adalah negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

“Daripada jumlah kes positif ini, 13 kes adalah warganegara Malaysia dan seorang warga Indonesia. Kes positif kluster ini melibatkan 11 warga emas iaitu penghuni rumah jagaan tersebut, seorang pekerja dan seorang ahli keluarga.

“Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut. Punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan,” katanya.

Kluster terbaharu di rumah warga emas di Kluang itu menjadikan lapan kluster baharu dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham mengumumkan empat kluster baharu, manakala tiga lagi kluster pada Ahad.

Sumber:mstar