Percubaan vaksin utama Covid-19 yang ditunggu-tunggu dunia ditangguh selepas sukarelawan tunjuk ‘reaksi serius’

PERCUBAAN vaksin koronavirus yang dikembangkan oleh Universiti Oxford dan AstraZeneca dan kini berada di Fasa 3 telah ditangguh selepas seorang sukarelawan di United Kingdom (UK) dilaporkan menunjukkan reaksi buruk yang serius

Kejadian itu, yang disyaki berlaku sebagai reaksi terhadap vaksin atau ubat-ubatan yang mengancam nyawa, memerlukannya dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun tidak jelas apa sifat sebenar reaksi tersebut, tetapi sumber yang dekat dengan kes ini memberitahu Stat News bahawa individu itu dijangka pulih.

Penangguhan seperti ini bukanlah luar biasa, tetapi sedikit sebanyak menjejaskan harapan seluruh dunia agar vaksin dapat disiapkan dalam beberapa bulan akan datang.

Vaksin yang sedang diuji oleh AstraZeneca ini dianggap oleh banyak pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai calon utama (vaksin) di seluruh dunia.

Setiausaha Kesihatan UK Matt Hancock awal minggu ini berharap ia dapat digunakan dalam ‘beberapa bulan pertama’ 2021.

Australia, misalnya, telah pun membelanjakan AS$1.24 bilion bagi mendapatkan akses 84 juta bekalan vaksin Covid-19, sekiranya percubaan klinikal berjaya.

Pembangunan vaksin yang sedang dijalankan oleh AstraZeneca bersama percubaan oleh lapan yang lain berada dalam Fasa 3 serta diawasi dengan teliti dengan harapan ia dapat mencegah wabak yang telah membunuh lebih dari 894,000 orang di seluruh dunia, termasuk hampir 190,000 rakyat Amerika.

Para pembangun vaksin, termasuk AstraZeneca berjanji untuk tidak mengabaikan ujian keselamatan dan keberkesanannya, walaupun Presiden AS Donald Trump mendesak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan untuk memberikan kelulusan kecemasan kepada vaksin itu menjelang pilihan raya 3 November.

Vaksin yang dibangunkan AstraZeneca, dikenali sebagai AZD1222, kini berada di peringkat terakhir sebelum data keselamatan dan keberkesanannya dapat diserahkan kepada pengawal selia untuk persetujuan AS dan di seluruh dunia.

Bersama Pfizer dan Moderna, AstraZeneca dan rakannya Oxford University berharap dapat mengetahui sama ada suntikan itu berjaya dan selamat menjelang akhir tahun. -MailOnline

Sumber:mstar